KUCHING, 11 Jan: Syarikat pengeluar motosikal, Kawasaki akan melancarkan cawangan pertamanya di negeri ini yang terletak di Pusat Komersial Travillion Jalan Petanak, Kuching pada 20 Januari ini.
Pengurus Pemasaran Digital Kawasaki Cawangan Kuching, Abang Sayyidi Qairulzaman Abg Sapali berkata, pelancaran cawangan tersebut merupakan komitmen Kawasaki untuk mengembangkan lagi rangkaiannya di wilayah Borneo.
Menurut Abang Sayyidi, pelancaran cawangan itu akan bermula pada 9 pagi dengan pelbagai aktiviti menarik disediakan kepada pengunjung termasuk persembahan daripada artis tempatan.
“Kita akan beri cenderamata percuma kepada sesiapa yang hadir pada hari pelancaran itu. Ia terbuka kepada orang ramai, di situ juga ada festival makanan mini dan pameran motosikal Kawasaki.
“Pada 2 hingga 5 petang pula, kita akan mulakan majlis pembukaan bilik pameran yang akan dirasmikan oleh tetamu kehormat dari Kuala Lumpur,” katanya pada sidang media yang turut dihadiri Pengarah Kawasaki Kuching, Lau Kin Tay @Lau Kin Hu di sini, hari ini.
Katanya, program pelancaran rasmi Kawasaki cawangan Kuching itu bertemakan “Menunggang Bersama Dengan Kawasaki”.
Katanya lagi, cawangan pertama Kawasaki di negeri ini akan diuruskan oleh Syarikat Ghee Ghau Co.Sdn Bhd. – TVS