Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Gambar hiasan Envato

Kadar pengangguran Malaysia kembali ke paras prapandemik pada Nov 2023

ByBernama

KUALA LUMPUR, 11 Jan: Kadar pengangguran di Malaysia pada November 2023 telah kembali pada paras prapandemik iaitu 3.3 peratus dengan 569,200 penganggur, berbanding 3.4 peratus dicatatkan pada Oktober, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata jumlah yang ditunjukkan pada November itu, mengisyaratkan pertumbuhan ekonomi yang positif, dengan pertambahan berterusan dalam bilangan penduduk bekerja dan pengangguran yang menurun.

“Bilangan tenaga kerja pada November 2023 meningkat 0.2 peratus bulan ke bulan kepada 17 juta orang daripada 16.97 juta orang pada Oktober,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan DOSM.

Jumlah penduduk yang bekerja pada November meningkat 0.2 peratus, berjumlah 16.43 juta orang berbanding 16.40 juta pata Oktober. Pada masa sama, jumlah individu penganggur menurun 0.3 peratus kepada 569,200.

Mohd Uzir berkata daripada bilangan mereka yang bekerja, 75.3 peratus berada dalam kategori pekerja yang menunjukkan peningkatan 0.1 peratus kepada 12.37 juta individu. Mereka yang dalam kategori bekerja sendiri juga meningkat 0.3 peratus kepada 2.99 juta.

Pekerjaan dalam sektor perkhidmatan terutamanya informasi dan komunikasi, perkhidmatan makanan dan minuman, dan pengangkutan dan penyimpanan, menyaksikan peningkatan.

Sektor pembuatan, pembinaan, serta perlombongan dan pengkuarian juga melaporkan peningkatan dalam bilangan mereka yang bekerja pada November 2023, manakala sektor pertanian merekodkan penurunan.

Mohd Uzir berkata mereka yang aktif mencari pekerjaan atau penganggur aktif, merangkumi 79.9 peratus daripada jumlah penganggur, berkurangan 0.6 peratus kepada 454,500 individu.

“Bagi individu penganggur aktif, 61.8 peratus menganggur kurang daripada tiga bulan, dan 6.3 peratus berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun,” katanya.

Mohd Uzir berkata walaupun berdepan dengan cabaran global, struktur ekonomi Malaysia yang pelbagai dan asas yang kukuh telah menyokong pertumbuhan ekonomi yang stabil, terutamanya dalam aktiviti pelancongan.

Mengenai banjir 2023, beliau berkata walaupun ia memberikan kesan kepada beberapa negeri di Malaysia, situasi ini tidak memberikan kesan signifikan kepada keseluruhan pasaran kerja, kerana ia dilihat hanya memberikan kesan kepada kawasan tempatan.

Pasaran buruh negara dijangka kekal teguh dalam beberapa bulan akan datang, sejajar dengan prestasi ekonomi negara yang semakin meningkat. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan