KUCHING, 11 Jan: Ini berita yang amat dinanti-nantikan warga Sarawak.
Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat melawat Sarawak pada 15 hingga 19 Januari.
“Dear Sarawakians. I am on the way,” katanya menerusi ‘story’ di Instagramnya – this.7, hari ini.
Difahamkan, antara pengisian program adalah taklimat mengenai penangkapan dan penyimpanan karbon serta perjumpaan dengan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Kali terakhir Tengku Hassanal berkenan menjejakkan kaki di Bumi Kenyalang adalah menerusi Kembara Kenali Borneo bersama ayahandanya, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada September 2023.
Kembara Kenali Borneo bermula dari Tawau, Sabah pada 3 September dengan Al-Sultan Abdullah memandu sendiri kenderaan pacuan empat roda ditemani Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Tengku Hassanal mula menyertai Kembara Kenali Borneo di Sarawak.
Sepanjang perjalanan dari Lawas ke Kuching, warga Sarawak sentiasa menantikan Tengku Hassanal untuk merakam gambar dan video serta bersalaman.
Kembara itu yang menelusuri Lebuh raya Pan Borneo diadakan buat julung kali bagi memberi peluang kepada rakyat Sabah dan Sarawak mendekati Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah serta anakanda baginda.
Selepas menelusuri perjalanan sepanjang 2,154 kilometer, Al-Sultan Abdullah mengakhiri Kembara Kenali Borneo selama 11 hari, di Telok Melano, Lundu pada 13 September.