SIBU, 10 Jan: Sibu akan menjadi medan persaingan buat lebih 1,600 atlet dari empat zon di Sarawak dalam 13 acara sukan pada temasya Sukan Sarawak (SUKSAR) Edisi ke-3 dari 15 hingga 18 Jan ini.
Residen Bahagian Sibu Datu Wong Hee Sieng yang mengumumkan Sibu sebagai tuan rumah penganjuran sukan tersebut hari ini memberi jaminan pihaknya akan memastikan acara berjalan dengan lancar.
Empat blok asrama Kolej Laila Taib di Desa Sanyan yang mempunyai 256 unit penginapan akan dijadikan sebagai perkampungan temasya sukan itu.
Bercakap kepada pemberita di sini, Hee Sieng berkata fasiliti dan kemudahan sukan dalaman dan luaran seperti Pusat Sukan Komuniti Azman Hashim di Sibu Jaya dan Stadium Tertutup Sibu kini dalam keadaan terbaik.
“Sibu selaku tuan rumah sudah bersedia menerima kehadiran para atlet dari empat zon yang akan bertanding di lokasi pertandingan yang telah ditetapkan,” katanya dan menambah semua kontinjen yang menyertai temasya itu dijadual tiba di sini secara berperingkat bermula 13 Jan ini.
Acara berbasikal akan diadakan di laluan Sibu Jaya-Julau dan Taman Jubli Bukit Aup, Angkat Berat (Dewan Melayu Melanau), Bola Tampar (Dewan Bola Tampar Taman Rejang) dan Bola Keranjang di Gelanggang Bola Keranjang KRT Sungai Antu.
Acara Futsal Lelaki dan Wanita akan berlansung di Gelanggang Futsal Kampung Nangka, Sepak Takraw (Dewan Sepak Takraw Kampung Bandong), Hoki (Stadium Tertutup Bukit Lima), Wushu (SM Wong Nai Siong), Taekwondo (Stadium Tertutup Sibu), Tinju (Stadium Tertutup Sibu), Judo (Pusat Sukan Komuniti Azman Hashim Sibu Jaya), Karate (Sibu Jaya) dan Pencak Silat (Dewan MUC Kampung Nyabor).
Menurut Hee Sieng, majlis perasmian akan disempurnakan oleh Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah di Stadium Tertutup Sibu pada 15 Jan, manakala Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijangka menyempurnakan majlis penutupan rasmi temasya sukan itu pada 18 Jan di venue sama.
Sehingga kini sebanyak 1,365 atlet sudah mendaftar bagi mengambil bahagian di temasya yang diharapkan dapat melahirkan atlet berprestasi tinggi untuk Sarawak.
Katanya, jumlah atlet itu dijangka bertambah dari semasa ke semasa dan wilayah tengah sendiri menyaksikan kira-kira 300 atletnya mengambil bahagian dalam acara yang dipertandingkan itu.
SUKSAR menjadi platform atlet-atlet Sarawak yang tidak pernah menyertai Sukan Malaysia atau memenangi sebarang pingat di temasya sukan nasional itu untuk menimba pengalaman dan meningkatkan prestasi masing-masing. – TVS