Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Anggota Bomba dan Penyelamat menggunakan anjing pengesan untuk menyiasat insiden melontar bom petrol ke kediaman Datuk Ngeh Koo Ham di Taman Semarak Jaya, Ayer Tawar, pagi ini. Foto Bernama

‘Penghinaan terhadap semangat perpaduan sejak merdeka’

ByMuqri Aziz

KUCHING, 10 Jan: Insiden melontar bom petrol ke kediaman Ahli Parlimen Beruas Datuk Ngeh Koo Ham pagi ini disifatkan sebagai satu penghinaan terhadap semangat perpaduan dan keharmonian yang dipupuk sejak merdeka.

Menteri Perpaduan Negara Dato Sri Aaron Ago Dagang berkata beliau mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan itu kerana ia bukan sahaja melanggar undang-undang negara tetapi juga mengancam ketenteraman dan keamanan dalam kalangan masyarakat yang berbilang bangsa.

“Masyarakat diminta untuk tidak terpengaruh dengan peristiwa ini dan dimohon untuk terus mengukuhkan keamanan, ketahanan komuniti serta keselamatan secara bersama.

“Sementara menunggu siasatan lanjut dan tindakan undang-undang yang sewajarnya diambil, saya menyeru semua pihak untuk tidak menyebarkan maklumat palsu yang boleh menggugat sensitiviti masyarakat berbilang bangsa, terutama yang berkaitan dengan aspek kaum, agama serta budaya,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, beliau mahu rakyat Malaysia terus menjadi benteng utama dalam menangani ancaman terhadap perpaduan dan keharmonian negara dan usaha itu sentiasa menjadi agenda utama Kerajaan Perpaduan.

Aaron juga percaya keamanan negara dan perpaduan rakyat adalah tanggungjawab bersama yang wajib dipikul oleh setiap rakyat Malaysia.

Pada awal pagi tadi, sebuah kereta milik Ngeh Koo Ham hangus terbakar disyaki selepas dibaling dengan bom petrol di kawasan rumahnya di Ayer Tawar, Manjung di Perak.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa menerusi panggilan telefon kira-kira pukul 2.55 pagi sebelum pasukan polis ke lokasi kejadian. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan