BALAI RINGIN, 10 Jan: Musim tengkujuh yang sedang melanda menjejaskan jualan buah durian di tepi Lebuhraya Pan Borneo di sini.
Penjual ‘raja buah’ yang ditemui berkata, cuaca hujan menjadi cabaran terbesar kepada mereka, bermula daripada proses mengambil buah sehingga menjualnya.
Seorang penjual, Umang Biju memberitahu, dia akan keluar rumah seawal 4 pagi dengan motosikal untuk mengutip buah di kebun yang terletak di atas bukit.
“Saya perlu berhati – hati kerana hujan menyebabkan keadaan jalan yang licin dan basah sehingga sukar untuk dilalui,” katanya kepada TVS ketika ditemui di tapak jualannya di sini hari ini.
Seorang lagi penjual durian, Sambai Jabu pula berkata, keadaan hujan juga akan menyebabkan pengguna yang melalui lebuh raya itu ‘malas’ untuk berhenti dan singgah di gerai mereka.
“Selain kekurangan pelanggan, saya dan peniaga lain juga terpaksa menjual dalam keadaan basah kerana limpahan air hujan selain kami hanya menggunakan payung,” katanya.
Anching Nyawang pula memberitahu, dia akan menjual buah-buahan dengan harga yang lebih murah menjelang petang bagi mengelakkan buah terpaksa dibawa semula ke rumah dan berisiko rosak.
“Saya akan turut menawarkan harga jualan mengikut permintaan pelanggan bagi mengelakkan buah tidak habis terutamanya pada hari berkerja dan semasa hari hujan,” katanya. -TVS