Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Ramanan Ramakrishnan diiringi Rizal Nainy ketika lawatan ke Ibu Pejabat SME Corp semalam. Foto, TVS.

KUSKOP sedia RM134.6 juta untuk perkasa PMKS tahun ini

KUALA LUMPUR, 10 Jan: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) memperuntukkan RM134.6 juta bagi melaksanakan pelbagai inisiatif dan program memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tahun ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Ramanan Ramakrishnan, inisiatif berkenaan akan dilaksanakan oleh agensinya, SME Corp Malaysia yang sejajar dengan visi Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030).

Kata beliau, ini juga menjadi sebahagian usaha menjadikan Malaysia sebagai peneraju ekonomi di rantau Asia Tenggara.

“Komitmen ini juga mengambil kira Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMKe-12) yang telah menetapkan sasaran yang jelas untuk pertumbuhan PMKS menjelang 2025, seperti sumbangan 41 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), 15 peratus kepada eksport, 3.5 peratus dalam purata pertumbuhan produktiviti buruh dan 90 peratus PMKS mendigitalkan operasi perniagaan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi taklimat sempena lawatan kali pertamanya ke Ibu Pejabat SME Corp semalam.

Sesi berkenaan bertujuan memberikan penerangan lanjut berkenaan peranan dan fungsi SME Corp sebagai Agensi Penyelaras Pusat (CCA) dalam pembangunan PMKS di Malaysia.

Pada lawatan berkenaan, Ramanan telah dimaklumkan mengenai inisiatif dan program pembangunan PMKS tahun ini serta pencapaian 2023.

Secara keseluruhannya, SME Corp telah menyalurkan sejumlah RM131.3 juta dana yang dimanfaatkan oleh 22,861 PMKS di seluruh negara.

Ia termasuk program bantuan kewangan bagi tujuan eksport iaitu Program Galakan Eksport Bumiputera (GEB) dan program SMEs Go Global (SMEGG) serta program pembangunan keupayaan dan kapasiti eksport, dan padanan perniagaan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Rizal Nainy berkata, melalui peruntukan sebanyak RM134.6 juta tahun ini, ia dijangka dapat dimanfaatkan lebih 16,700 PMKS.

“Program Peningkatan Kapasiti dan Keupayaan PKS (BAP) yang dihentikan sementara sebelum ini berikutan komitmen yang telah melebihi peruntukan akan kembali ditawarkan kepada PMKS pada tahun ini dengan peruntukan berjumlah RM55 juta,” katanya.

Selain itu, SME Corp akan terus melaksanakan program utama lain seperti Program Peningkatan Enterprise Bumiputera (BEEP), Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE), Program Pengukuhan Eksport, Program Peningkatan Industri Strategik dan Syarikat Berprestasi Tinggi (PRESTIGE) serta Program BizMe bagi pembangunan perusahaan inklusif,” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan