LANGKAWI, 10 Jan: Seorang kanak-kanak terkorban manakala bapa saudaranya cedera parah selepas motosikal yang dinaiki mereka melanggar sebuah lori di Jalan Chandekura di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.15 petang itu, mangsa, Muhammad Wassim Dayyan Amyrul Amry, 11, yang merupakan pembonceng meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner (ACP) Shariman Ashari berkata, kemalangan berlaku semasa lori dari arah Jalan Batu Belah Batu Bertangkup sedang keluar simpang masuk ke Jalan Chandekura, manakala motosikal dari arah Kuah menghala ke Jalan Chandekura.
Menurutnya, motosikal jenis Yamaha 15ZR itu yang tidak sempat mengelak telah melanggar lori pada sebelah tepi kanan di belakang kenderaan itu menyebabkan n mereka terperosok di bawah kenderaan berat itu.
“Akibat perlanggaran tersebut, pembonceng yang juga murid sekolah cedera parah dan menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultanah Maliha.
“Penunggang yang juga bapa saudara mangsa berumur 25 tahun cedera parah pada kepala dan bahu serta dirawat di hospital sama,” katanya kepada pemberita hari ini.
Tambah Shariman, siasatan lanjut mendapati kejadian itu berlaku ketika keadaan permukaan jalan kering di simpang-T yang dipisahkan oleh garisan putih berkembar.
“Polis turut menahan pemandu lori berumur 51 tahun dan ujian saringan urin mendapati dia positif dadah THC.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh dadah,” ujarnya. – TVS