KUCHING, 10 Jan: Inisiatif kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah banyak membawa perubahan dan memberi impak positif terhadap rakyat Sarawak.
Rata-rata mereka yang ditemui TVS menerusi tinjauan baru-baru ini berpuas hati dengan pelaksanaan pelbagai inisiatif yang diusahakan Abang Johari untuk memajukan dan menjaga kebajikan rakyat di negeri ini yang jelas terbukti apabila tiada rakyat dipinggirkan.
Menurut seorang usahawan kraftangan, Sophia Brodie, 51, dari Siburan, inisiatif Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) telah banyak membantu meringankan beban rakyat yang terkesan ketika penularan COVID-19.
Katanya, geran khas BKSS RM1,500 untuk penjaja dan usahawan kecil, memadai bagi membantu para usahawan yang terjejas sumber pendapatan mereka.
“Bagi saya, subsidi elektrik sangat bagus kerana dapat meringankan beban rakyat untuk membayar bil elektrik ketika dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Ramai yang kehilangan kerja termasuk saya yang hilang punca pendapatan ketika itu, tetapi saya bersyukur kerana ada bantuan daripada kerajaan, seperti saya yang terlibat dalam bidang kraftangan.
“Bantuan tersebut saya gunakan untuk membeli bahan-bahan membuat rantai, walaupun ketika itu harga belum tinggi, kalau dibanding dengan sekarang RM1, 500 itu tidak mencukupi. Kalau dulu jumlah tersebut cukup untuk menampung keperluan harian,” ujarnya.
Sementara itu, suri rumah, Julia Brodie berkata, bantuan diskaun bil elektrik merupakan satu langkah yang baik untuk membantu rakyat.
“Kita berharap Premier akan selalu menjaga kebajikan semua rakyat, diskaun subsidi bil elektrik dan air diteruskan serta memberi bantuan atau modal kepada usahawan yang ingin memulakan perniagaan.
“Selepas diskaun diberikan, ia meringankan beban rakyat, khususnya golongan B40,” katanya.
Selain itu, guru sekolah memandu di Institut Memandu (MKM), Jerry Samuel berkata, penularan COVID-19 telah memberi impak yang besar, terutama kepada mereka kerana banyak premis telah ditutup, namun dengan adanya bantuan RM500 untuk mereka, sedikit sebanyak dapat membantu mereka.
“Selepas COVID-19, sumber pendapatan kami telah menurun dengan mendadak kerana kalau ada yang hendak belajar memandu, hasil pendapatan kami bergantung kepada mereka, kalau tiada yang datang belajar memandu, tiadalah hasil pendapatan kami.
“Ketika itu juga Abang Johari mengumumkan bantuan BKSS kami sangat berterima kasih. RM500 pun sudah mencukupi untuk menambah hasil pendapatan kami yang terjejas,” katanya.
Sehubungan itu, Jerry berharap bantuan untuk sektor pengangkutan akan ditambah lagi pada masa hadapan atau diteruskan.
Jensen Inggang yang bekerja di sektor swasta, yakin dengan kepimpinan Premier Sarawak dalam usaha mencorak kemajuan Sarawak.
Ujarnya, salah satu inisiatif yang telah banyak membantu rakyat Sarawak, khususnya untuk golongan ibu yang telah melahirkan anak iaitu Bantuan Ibu Bersalin (BIB) yang tiada di negeri lain.
“Sebagai seorang penerima bantuan (kategori bujang) ketika saya masih belum berkahwin, bantuan tersebut telah membantu kerana kita tahu ketika itu banyak yang telah hilang kerja.
“Diharap tahun ini, kita tahu banyak cabaran yang dihadapi dalam memulakan tahun baru ini, saya yakin Premier Sarawak, Abang Johari, beliau tahu semua rakyat Sarawak patut dibantu, terutamanya golongan yang kurang pendapatan.
“Saya cukup berterima kasih kerana menjadi salah seorang rakyat Sarawak, diharapkan bantuan ini diteruskan di tahun-tahun yang akan datang,” ujarnya. – TVS