KUCHING, 10 Jan: Sebanyak 28 buah kenderaan terbakar dalam kebakaran di sebuah bengkel di Jalan Brayun, Taman Tiara, Sri Aman malam tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman menerima panggilan memaklumkan insiden tersebut pada 8.42 malam.
Jelas PGO, seramai 10 anggota dengan sebuah jentera FRT dan sebuah EMRS digerakkan ke lokasi.
“Kebakaran melibatkan struktur bangunan yang terbakar 10 peratus dan 28 buah kenderaan.
“Sebuah Perodua Alza terbakar 90 peratus, sebuah Toyota Hilux terbakar 10 peratus, sebuah Proton Wira terbakar 10 peratus dan dua lagi terbakar 100 peratus.
“Manakala 23 buah kenderaan lagi terbakar 100 peratus,” jelas kenyataan itu.
Operasi turut dibantu lapan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pegawai dari Perbadanan Pembekalan Elektrik Sarawak (SESCO).
Punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan. -TVS