KUCHING, 9 Jan: Seorang kanak-kanak lelaki orang kurang upaya (OKU) berusia 12 tahun ditemukan rentung dalam kebakaran yang melibatkan enam rumah kedai di Kota Sentosa, dekat sini, petang tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Henderi Ardimansyah berkata, mangsa ditemui terperangkap di ruang tamu di bahagian atas bangunan dua tingkat terbabit.
“Mangsa ditemui rentung tetapi masih lagi cukup sifat.
“Pada awalnya, kita dimaklumkan ada dua mangsa yang terperangkap namun selepas membuat pengesahan dengan ibu mangsa, hanya satu sahaja mangsa yang terperangkap,” katanya kepada pemberita di lokasi.
Tanbahnya, punca kejadian dan jumlah kerugian masih lagi dalam siasatan.
“Kebakaran dipercayai bermula di bahagian bawah pintu yang ketiga namun siasatan lanjut akan mengenai pasti punca kebakaran sebenar,” ujarnya.
Terdahulu, panggilan kecemasan diterima sekitar jam 3:30 petang dan operasi melibatkan tiga pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP)Batu Lintang, BBP Tabuan Jaya dan BBP Kota Samarahan melibatkan lebih 40 anggota penyelamat. -TVS