PUTRAJAYA, 9 Jan: Mana-mana syor yang meletakkan wanita umpama ‘alat’ untuk menyelesaikan masalah sosial dilihat sebagai merendahkan martabat wanita, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri.
“Cadangan ataupun gurauan yang tidak sensitif terhadap wanita tidak boleh dijadikan normalisasi, apatah lagi ia bercanggah daripada pelbagai sudut, sama ada dari sudut undang-undang, nilai kekeluargaan, budaya dan agama,” katanya dalam kenyataan hari ini, merujuk kepada satu kenyataan dalam siaran audio siar (podcast) seorang pelakon tempatan.
Pelakon terkenal tanah air Datuk Rosyam Nor menerusi audio siar Hitam Putih Kehidupan yang dimuat naik ke TikTok Suhan Channel berkata pusat pelacuran perlu ada untuk ‘kemudahan’ warga asing lelaki yang kebanyakannya meninggalkan isteri di negara mereka.
Nancy berkata Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mengambil pendekatan sifar toleransi terhadap sebarang bentuk keganasan terhadap wanita sama ada secara fizikal, seksual, emosi, mahupun psikologi dan pendirian itu didukung penuh oleh kerajaan dan disokong merentasi kementerian.
KPWKM sentiasa fokus kepada usaha memperkasa wanita dan mengarusperdanakan gender di samping menyediakan ekosistem terbaik dan persekitaran yang kondusif bagi membolehkan wanita mempunyai peluang yang adil sama seperti peluang yang dimiliki oleh golongan lelaki, katanya.
“Saya percaya rakyat Malaysia adalah rakyat berilmu dan bertamadun dan kita perlu bertindak dengan lebih baik dan bijak di masa hadapan terutamanya untuk menonjolkan contoh yang terpuji kepada generasi kita akan datang,” katanya. -TVS