Perkembangan itu menyusul susulan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Persekutuan – Negeri yang dipengerusikan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Foke di sini hari ini.
Menerusi kenyataan media bersama oleh Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) dan Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak (MIPD), Memorandum Persefahaman (MoU) akan ditandatangani pada Februari depan.
“Kementerian Pengangkutan Malaysia yang akan membentangkan Rang Undang-Undang pemansuhan Akta Lembaga Pelabuhan Bintulu, 1981 pada Sesi Persidangan Parlimen 2024.
Kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak akan mewujudkan Lembaga Pelabuhan Bintulu (Sarawak) di bawah Ordinan Lembaga-Lembaga Pelabuhan, 1961.
“Bagi memastikan operasi Pelabuhan Bintulu tidak terkesan dan terganggu oleh proses penukaran status, Kerajaan Sarawak akan mewujudkan Lembaga Pelabuhan Bintulu (Sarawak) di bawah Ordinan Lembaga-Lembaga Pelabuhan 1961,” jelas kenyataan berkenaan.
Sebelum ini, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyambut baik hasrat Kerajaan Persekutuan untuk menyerahkan pelabuhan berkenaan yang merupakan salah satu agenda yang diperjuangkan oleh wilayah ini menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Lembaga Pelabuhan Bintulu ditubuhkan pada 15 Ogos 1981 di bawah Akta Lembaga Pelabuhan Bintulu 1981 yang merupakan sebuah Badan Berkanun Persekutuan di bawah MOT.
Pelabuhan berkenaan mempunyai kedudukan strategik di Timur Laut Sarawak selain merupakan laluan utama eksport gas asli cecair (LNG) dari Malaysia. – TVS