KOTA BELUD, 8 Jan: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan agensi-agensi di bawahnya telah melaksanakan 187 program sepanjang tahun lepas yang memberi manfaat kepada 755,909 usahawan di seluruh negara.
Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata KUSKOP melalui agensi-agensi kementerian itu juga telah memperkenal dan melaksanakan lebih 22 program, skim dan bantuan baharu bagi tempoh yang sama.
Katanya dalam tempoh itu juga 292,530 individu telah mendapat manfaat daripada pembiayaan mikro kredit, geran keusahawanan pinjaman mudah dan pembiayaan alternatif melibatkan RM5.09 bilion yang disalurkan oleh agensi-agensi di bawah KUSKOP.
“Pembiayaan itu termasuklah mikro-kredit, geran keusahawanan, pinjaman mudah dan pembiayaan alternatif untuk kita bantu usahawan kita semua,” katanya berucap pada Majlis Peluncuran Pembangunan Kadamaian sempena Rumah Terbuka Sambutan Krismas Kadamaian di sini hari ini.
Perasmian majlis disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ewon berkata melalui program pembudayaan keusahawanan, 326,474 usahawan perusahaan, mikro, kecil dan sederhana (PMKS) telah menyertai 24 program yang dilaksanakan oleh kementerian dan agensi-agensi di bawahnya itu.
“Tahun ini KUSKOP akan melaksanakan beberapa inisiatif dan projek baharu, termasuklah Program Rangsangan Koperasi Pelancongan di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Projek Tamu Desa,” katanya.
Beliau berkata antara aspirasi utama KUSKOP tahun ini adalah untuk meningkatkan penyertaan usahawan PMKS dalam industri berimpak tinggi ubagi memperkasa rantaian bekalan domestik dan rantaian nilai global, untnuk meneruskan program pembangunan dan pengukuhan usahawan terlibat.
Pada majlis yang sama, Ewon turut menyampaikan penghargaan terhadap keprihatinan kerajaan Persekutuan yang menaik taraf jalan-jalan utama di kawasan itu, yang memudahkan penduduk kampung memasarkan hasil pertanian serta memberi keselesaan kepada para pelancong dan pengunjung. -TVS