Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Tiang menyempurnakan Majlis Membedak Mata Singa di Kuil Eng Ann Teng Tua Pek Kong pada Ahad. Foto, TVS.

Peraturan baharu perumahan Sarawak untungkan semua pihak – Micheal Tiang

SIBU, 7 Jan: Peraturan baharu yang akan diperkenalkan oleh Kerajaan Sarawak terhadap pemaju perumahan akan memberikan situasi ‘menang – menang’ kepada semua pihak.

Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata, kementeriannya memberi sokongan penuh terhadap pindaan undang-undang perumahan Sarawak yang akan dilaksanakan pada suku pertama tahun ini.

Peraturan wajibkan syarikat swasta bina 30 peratus rumah kos rendah akan dipinda – Abang Johari

Kata beliau, polisi itu akan menguntungkan orang awam, syarikat pemaju dan Kerajaan Sarawak.

“Saya menyambut baik dan menyokong dasar baharu ini seperti yang diumumkan oleh Premier Sarawak (Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg) semalam,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir Majlis Membedak Mata Singa di Kuil Eng Ann Teng Tua Pek Kong di sini hari ini.

Abang Johari semalam berkata, Kerajaan Sarawak bercadang untuk meminda peraturan yang mewajibkan pemaju projek perumahan swasta untuk membina 30 peratus rumah kos rendah dalam setiap projek mereka dengan menggantikan kaedah itu dengan bayaran yang setara dengan nilai peratusan berkenaan.

Tambah beliau, pemaju akan dicadangkan mendepositkan bayaran sebagai ganti ke dalam tabung amanah tanpa perlu melakukan kerja pembinaan.

Sementara itu Micheal Tiang berharap agar Kerajaan Sarawak akan terus memperkukuhkan dasar perumahan untuk memastikan perumahan mampu milik bagi rakyat terus tersedia terutamanya bagi pembeli rumah pertama.

Kata beliau undang-undang sebelum ini mewajibkan sektor swasta melaksanakan 30 peratus daripada skim perumahan atau projek pembangunan campur untuk membina rumah mampu milik jika tanah yang dibangunkan seluas 10 ekar (4.047 hektar) atau lebih.

“Pemaju juga menghadapi cabaran membina di kawasan terpencil disebabkan tanah yang mahal dan sukar diakses selain kos pengangkutan yang lebih tinggi.

“Sekarang pemaju hanya perlu membayar jumlah tertentu kepada Dana Amanah Perumahan Sarawak. Ini baik kerana Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) boleh menggunakan wang berkenaan untuk membina rumah kediaman mampu milik mengikut pelan pembangunan bandar di Sarawak bagi memenuhi harapan rakyat,” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan