BINTANGOR, 6 Jan: Daerah Meradong kini mempunyai ladang padi hibrid pertama dengan penanaman baka padi yang bermutu tinggi itu di kawasan Sungai Padi di sini.
Ahli Dewan Undangan Negeri Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, projek perintis yang masih pada peringkat percubaan itu meliputi kawasan seluas 25 hektar diusahakan oleh syarikat Onemas Agriculture Sdn Bhd.
Penanaman padi itu katanya, sangat berjaya di China apabila petani di negara itu mampu melakukan sekurang-kurangnya tiga kali tuaian setahun.
“Saya difahamkan, biji benihnya dari China dan sangat berjaya di negara itu. Selepas 21 hari semaiannya kita boleh melihat secara fizikal anak pokok tumbuh sebelum dipindahkan ke sawah.
“Saya pernah mengetengahkan projek ini di Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana optimis terhadap potensinya yang berupaya menyediakan peluang ekonomi kepada rakyat Meradong,” katanya ketika menghadiri taklimat pemprosesan penanaman padi hibrid anjuran Onemas Agriculture Sdn Bhd, di Pejabat Daerah Meradong di sini, hari ini.
Beliau dalam pada itu menyifatkan kejayaan projek itu sangat penting bagi membolehkan kewujudan tapak baharu untuk tanaman berkenaan sekali gus memberi peluang ekonomi kepada penduduk setempat.
Malah ujarnya, Bintangor mempunyai tanah yang sesuai bagi tujuan penanaman padi sekali gus jika diusahakan dengan cara yang betul, dapat meningkatkan keperluan beras tempatan.
“Dalam sidang DUN saya ada menyebut mengenai skim mini ladang padi di kawasan Sungai Tulai yang seluas lebih 600 hektar.
“Saya amat berharap skim perintis ini berjaya bagi membolehkan kementerian mempertimbangkan cadangan pembukaan ladang mini padi di Sungai Tulai tidak begitu berjaya sebelum ini,” jelasnya. – TVS