SRI AMAN, 6 Jan: Golongan belia harus dipupuk untuk melakukan aktiviti kemasyarakatan seperti membantu menggali kubur sekiranya berlaku kematian.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor, kesedaran dalam kalangan golongan itu harus dijentik oleh mereka yang lebih dewasa dalam hal ini.
“Harap ada penglibatan para belia dan yang dah dewasa mungkin boleh mengajak belia lain untuk turut serta dalam aktiviti seperti ini supaya ada kesedaran lah kerana ini salah satu ibadah juga walaupun nampak remeh tapi besar pahalanya,” katanya.
Dayang Noorazah berkata demikian semasa berucap pada Majlis Tahlil Tanah Perkuburan Kampung Hilir di Sri Aman pada Jumaat.
Dalam pada itu katanya masyarakat di kawasan kampung perlu bersyukur kerana masih terdapat individu yang masih terlibat dalam aktiviti ini meskipun ia memerlukan tenaga kerja yang ramai.
Menurutnya mereka yang sudah mengikuti kursus atau memiliki kemahiran dalam bidang ini perlulah berani tampil memberi bantuan semasa berlaku sesuatu kematian.
“Jadi kita sangat bersyukur sebab masih ada penduduk di kawasan kampung kitak yang mahu terlibat dalam aktiviti menggali kubur walaupun nak melakukannya sangat berat,” jelasnya. -TVS