Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah (tengah) merakam kenangan bersama ahli-ahli Kelab Peminat P. Ramlee Sarawak (KPPRS). Foto: Muqri Aziz (TVS)

Khazanah seni P. Ramlee, Saloma, pemangkin bangsa dan jati diri – Fatimah

ByMuqri Aziz

KUCHING, 6 Jan: Penggiat seni di Sarawak disaran agar memanfaatkan khazanah seni seniman dan seniwati, Allahyarham Tan Sri Datuk Amar P. Ramlee serta Allahyarhamah Puan Sri Datin Amar Saloma sebagai pemangkin kepada bangsa dan jati diri.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah berkata meskipun pembangunan negara bersifat material dan berpusatkan ekonomi namun ia harus diselarikan dengan kepentingan penubuhan bangsa yang berbudaya, berjati diri dan berwatak.

“Khazanah ilmu gagasan dan pemikiran besar yang ditinggalkan oleh P. Ramlee dan Saloma, seniman dan seniwati zaman mereka melalui lagu, lakonan dan filem mereka bagi saya mempunyai potensi untuk menyumbang secara bermakna terhadap pembangunan bangsa dan negara, bermaruah dan berjiwa besar.

“Memanfaatkan sepenuhnya khazanah seni yang amat berharga ini untuk meningkatkan nilai sumbangan dan wibawa kreativiti supaya bangsa dan budaya kita di pandang tinggi oleh masyarakat maju dunia, sesuai dan selari dengan aspirasi untuk menjadikan Sarawak sebuah wilayah yang maju dan makmur menjelang 2030,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam KPPRS ‘Malam Menyantuni P. Ramlee & Saloma’ di sini pada Sabtu.

Turut hadir Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Noriah Ahmad dan Pengerusi Kelab Peminat P. Ramlee Sarawak (KPPRS) Datu Dr Adi Badiozaman Tuah.

Dalam pada itu, beliau juga percaya penyertaan anak-anak muda dalam bidang seni kreatif dapat mengekalkan kerelevanan generasi lama dalam bentuk wajah baharu bagi industri berkenaan.

“Dunia dan kegiatan seni seperti yang dilakukan oleh KPPRS mampu membina dan memupuk keyakinan diri di samping meningkatkan kecekapan untuk berkomunikasi secara kreatif khususnya dalam kalangan generasi muda dan mengekalkan kerelevanan generasi tua dalam membentuk wajah baharu untuk Sarawak sama ada dalam industri pelancongan mahupun industri perkhidmatan.

“Kedua-dua industri ini menuntut dan memerlukan kreativiti dan kemahiran berfikir dan kritis aras yang tinggi supaya dalam kesederhanaan ada kelainan bagi memberi identiti itu sendiri kepada wajah dan imej seni dan budaya Sarawak,” katanya lagi.

Fatimah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat turut menyumbang sebanyak RM5,000 daripada geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada KPPRS bagi tujuan menjalankan aktiviti tahunan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan