KUCHING, 5 Jan: Jenazah rakyat Sarawak, Nurhaslinda Abdullah yang meninggal dunia di Seoul, Korea Selatan pada 25 Disember 2023 lalu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Semariang pada jam 4 petang hari ini.
Jenazah Allahyarham tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) pada 2.20 petang tadi dengan menaiki pesawat MASKargo dari Korea Selatan.
Sejurus itu, jenazah dibawa ke Kompleks Perkuburan Islam Semariang untuk disembahyangkan sebelum disemadikan.
Terdahulu, Kedutaan Malaysia di Korea Selatan mengesahkan Nurhaslinda meninggal dunia di Seoul.
Sebelum itu arwah dimasukkan ke hospital dan dilaporkan kritikal oleh rakannya kepada ahli keluarga di Kuching.
Dalam perkembangan lain, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang juga Ahli Parlimen Santubong, Dato Sri Nancy Shukri memaklumkan jenazah akan dibawa balik untuk dikebumikan di Sarawak.
Keputusan untuk membawa balik jenazah untuk dikebumikan di sini dipersetujui seluruh ahli keluarganya selepas perbincangan bersama pihak Pejabat Parlimen Santubong, Kedutaan Malaysia di Korea Selatan dan Wisma Putra, baru-baru ini.
Menurut Nancy meskipun berdepan dengan banyak kekangan termasuk kos yang tinggi, namun hasil sumbangan rakyat Malaysia sejumlah RM50,000 berjaya dikumpul bagi tujuan pengurusan jenazah.
Nurhaslinda, 30, berasal dari Kampung Sejingkat di sini sebelum ini bekerja di sebuah kilang di Korea Selatan sejak September lalu. -TVS