JOHOR BAHRU, 5 Jan: Anak-anak anggota kumpulan Senario Hamdan Ramli atau nama sebenar Ahmad Hamdan Mohamed Ramli, 54, menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang gemar memberi nasihat kepada ahli keluarga dan rakan-rakan.
Anak sulung Hamdan, Muhamad Zeyreen Misha, 31, berkata banyak pesanan yang ditinggalkan oleh bapa kepada dirinya dan tiga beradik yang lain terutamanya mengenai kematian dan syurga.
“Babah memang banyak meninggalkan pesanan, kawan-kawan babah cakap dia penceramah bebas, pesanan terakhirnya kepada adik-beradik, keluarga dan kawan-kawan adalah dengan berkongsi bacaan surah bagi memudahkan urusan itu (kematian dan masuk syurga).
“…biarlah Babah berehat terus, kami reda dan kami akan jumpa semula di alam lain nanti,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini hari ini.
Beliau berkata jenazah bapanya akan dibawa ke Masjid Abu Ubaidah, Taman Perpaduan, Perak untuk disembahyangkan serta diberi penghormatan terakhir oleh ahli keluarga dan kenalan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tambun, malam ini.
Mengenai sama ada mahu meneruskan karier bapanya sebagai pelakon komedi, Muhamad Zeyreen Misha berkata dia dan tiga adiknya juga mempunyai minat untuk berkecimpung dalam bidang seni, namun perkara itu bergantung kepada peluang.
“Soal meneruskan legasi babah, minat itu memang ada cuma belum ada masa untuk ditonjolkan, jika ada rezeki insya-Allah akan diperluas. Namun kami perlu minta restu daripada mama terlebih dahulu, jika dia luluskan barulah kami teruskan,” katanya.
Anak ketiga Hamdan, Muhamad Syazreen Haqem, 25, pula berkata bapa selalu berpesan supaya kesemua anak-anak sentiasa menjaga dan memberi perhatian kepada ibu mereka serta adik-beradik yang lain.
“Babah juga beritahu dia sayangkan peminat-peminat kumpulan Senario. Saya mohon semua doakan agar urusan babah dipermudahkan,” katanya.
Sementara itu, salah seorang anggota kumpulan Senario Yassin Yahya, 46, berkata Allahyarham sempat berpesan kepada peminat supaya memaafkannya jika ada melakukan kesalahan.
Menurut Yassin pesanan akhir itu disampaikan Allahyarham kepada anggota Senario yang lain ketika makan malam sebelum ditidurkan di HSA selepas didapati mengalami komplikasi buah pinggang, 31 Dis tahun lepas.
“Pemergian arwah terlalu berat untuk diterima Senario kerana terlalu banyak kenangan sepanjang 27 tahun kami bersama.
“Sepanjang arwah berada di HSA, saya dan beberapa rakan Senario memilih untuk tidak balik ke Kuala Lumpur bagi menunggu abang Hamdan dan beri sokongan kepada keluarganya, mereka tiada sesiapa di sini, kami takkan biarkan mereka,” katanya.
Hamdan, meninggal dunia di HSA kira-kira 12.50 tengah hari tadi, meninggalkan isteri Norhamalini Ahmed, 53, serta empat orang anak Muhamad Zeyreen Misha, 31, Muhamad Nazreen Aiman, 28, Muhamad Syazreen Haqem, 25, dan Nur Natasya Umairah, 21.
Pada 1 Jan lepas, kumpulan Senario dilaporkan memohon peminat agar mendoakan kesembuhan rakan mereka, Hamdan yang telah ditidurkan di HSA selepas didapati mengalami komplikasi buah pinggang.
Hamdan bersama anggota kumpulan Senario sepatutnya mengadakan persembahan “Wonderful Night with Senariounion” di sebuah hotel di sini sempena sambutan Tahun Baharu pada 31 Dis lepas, namun persembahan itu terpaksa diteruskan tanpa kehadiran Allahyarham.
Senario merupakan kumpulan pelawak dan pelakon yang aktif sejak 1996, selain pernah menghasilkan album dan membintangi beberapa filem. -TVS