Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Sesi latihan skuad Harimau Malaya pimpinan Kim Pan Gon yang bakal beraksi di Piala Asia 2023 di Qatar. Foto FAM

Harimau Malaya dicabar jadi pasukan Asia Tenggara terbaik di Qatar

ByBernama

KUALA LUMPUR, 4 Jan: Skuad Harimau Malaya bimbingan Kim Pan Gon dicabar menjadi pasukan terbaik dalam kalangan empat negara Asia Tenggara yang bakal bersaing pada Piala Asia 2023 di Doha, Qatar dari 12 Jan hingga 10 Feb ini.

Pemerhati bola sepak tempatan Datuk Dr Pekan Ramli berkata biarpun berdasarkan ranking dunia Malaysia yang berada di posisi ke-130 adalah pasukan Asia Tenggara ketiga terbaik di belakang Vietnam (94) dan Thailand (113), namun kemampuan anak buah Pan Gon tidak boleh diragui.

Beliau berkata pentas Piala Asia adalah peluang keemasan untuk barisan pemain mengangkat kembali martabat bola sepak Malaysia dalam kalangan negara serantau.

“Dalam empat negara Asia Tenggara ada dua pasukan (Vietnam dan Thailand) ranking lagi tinggi daripada kita cuma Indonesia di bawah (146), tapi saya nak lihat kita jadi pasukan terbaik dan mampu pergi lebih jauh, kalau boleh sampai ke pusingan 16 terbaik walaupun itu satu perjalanan yang sangat sukar.

“Tetapi jika berlaku ia dapat mengangkat kembali kedudukan kita dalam kalangan negara Asia Tenggara…kerana setiap perlawanan di sana (Doha) akan memberikan mata ranking dan ia penting dalam usaha kita nak memanjat ke kelompok 120 terbaik dunia,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Di Doha, Vietnam yang berjaya melangkah ke suku akhir pada edisi lepas dan Indonesia diundi dalam Kumpulan D bersama juara empat kali Jepun dan juara 2007 Iraq sementara Thailand selaku juara Piala AFF 2022 bersaing dengan juara tiga kali Arab Saudi, Kyrgyzstan dan Oman dalam Kumpulan F.

Malaysia yang menamatkan penantian 42 tahun untuk layak secara merit ke Piala Asia akan memulakan kempen Kumpulan E menentang Jordan pada 15 Jan (16 Jan waktu Malaysia), Bahrain (20 Jan) dan membuat perhitungan menentang juara dua kali Korea Selatan dalam aksi terakhir pada 25 Jan.

Hanya juara dan naib juara setiap kumpulan bersama empat pasukan tempat ketiga terbaik akan layak ke pusingan 16 terbaik yang tidak pernah dicapai pasukan negara dalam tiga penampilan sebelum ini masing-masing pada 1976 di Iran, 1980 (Kuwait) dan ketika menjadi tuan rumah bersama pada 2007.

Sementara itu, Pekan turut mengingatkan impak negatif sekiranya Malaysia mengalami kekalahan atau lebih parah gagal meraih sebarang kemenangan dalam aksi kumpulan.

“Ranking kita akan jatuh kembali dan menyebabkan kita lambat untuk bangkit semula dan ini akan jejaskan prospek dalam perjalanan fasa kedua ke fasa ketiga Pelan Hala Tuju FAM (F:30), jadi ini perkara penting yang perlu kita lihat juga

Kita bercakap nak menang dengan Jordan, Bahrain dan Korea Selatan tetapi kalau tak dapat capai sasaran itu kesan yang lebih besar adalah ranking kita,” katanya yang optimis skuad Harimau Malaya tetap mampu menghadapi cabaran getir dan tekanan tinggi di sana. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan