KUALA LUMPUR, 4 Jan: Penghidap penyakit gout berisiko terkena jangkitan kuman sekiranya dengan sengaja mengeluarkan cecair yang terkandung dalam tophi iaitu benjolan yang terbentuk di bawah lapisan kulit mengandungi asid urik.
Menurut seorang pengamal perubatan, Dr Diyana Ahmad, tindakan itu boleh mengancam nyawa akibat komplikasi jangkitan kuman terhadap sendi dalam badan.
“Apabila terdapat benjolan, ia tidak terus menjadi besar dan mengeras, sekiranya pesakit gout ada tophi, mereka perlu lakukan pemeriksaan darah asid urik itu.
“Kita akan beri ubat dan pastikan paras asid urik 300 micromol dan tophi akan mengecil. Sebelum nak picit, perlu kurangkan dulu asid urik itu,” katanya ketika menjadi tetamu program Apa Khabar Malaysia dengan topik Serangan Gout dan Langkah Pencegahannya terbitan Bernama TV pada Rabu.
Dr Diyana berkata, sekiranya berlaku jangkitan kuman, pesakit akan dirujuk ke doktor pakar tulang dan pembedahan akan dilakukan dalam ruangan yang bebas kuman.
Beliau menjelaskan, gout terjadi berikutan asid urik berlebihan terkumpul di dalam badan hingga membuatkan bahagian sendi seperti jari, buku lali dan lutut membengkak.
“Gout berupaya menyebabkan komplikasi kesihatan lain seperti radang sendi yang kekal, batu karang dan masalah terhadap pembekuan darah sekiranya tidak dikawal,” jelasnya.
Kongres Reumatologi Tahunan Eropah pada 2019 memberitahu bahawa satu daripada empat penderita gout tidak didiagnosis kecuali selepas mengalami empat atau lebih serangan. – TVS