KUCHING, 3 Jan: Proses penggalian di Taman Mawar, Bau yang terjejas bakal bermula esok, 4 Januari ekoran daripada aduan banjir yang kerap di kawasan tersebut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Dato Henry Harry Jinep berkata kerja-kerja penggalian tersebut dilaksanakan dalam tempoh dua minggu bertujuan untuk menangani masalah banjir di kawasan berkenaan.
Menurut Henry, pihaknya mendapat maklum balas daripada penduduk setempat bahawa mereka mengalami bencana banjir disebabkan hujan pada setiap petang.
Oleh itu, beliau memohon agar pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk mempercepatkan proses penggalian pembentung yang sedia ada kerana ia terlalu kecil dan tidak mampu menampung limpahan air.
Tambahnya, walaupun projek tersebut diberi masa selama lima bulan sejak Oktober lepas namun masalah banjir pada masa ini perlu diselesaikan dengan kadar segera bagi membantu penduduk setempat.
“Jadi saya terpaksa turun padang memberi semangat kepada kontraktor bagi mempercepatkan proses penggalian jalan air.
“Itu tidak masalah untuk membina tapi masalah sekarang ini disebabkan tiap petang kita mengalami hujan dengan air yang begitu deras jadi saya mohon kepada pihak JKR untuk mempercepatkan proses,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui media selepas lawatan ke tapak banjir di Taman Mawar di Bau pada Rabu.
Selain itu, beliau turut menyeru agar beberapa agensi yang terlibat untuk membuat tinjauan di kawasan sekitar agar tiada aktiviti yang tidak mendapat kelulusan dijalankan.
Jelasnya, ia bagi memastikan proses pembangunan berjalan mengikut tatacara yang sepatutnya.
“Kita mohon pihak Majlis Daerah memantau kawasan sekitar yang mana ada pembangunan berjalan supaya ia dilakukan mempunyai proses dan tatacaralah,” ujarnya.
Untuk rekod, kawasan tersebut mengalami banjir sejak penghujung tahun 2021 kerana pembentung yang sedia ada tidak lagi mampu menampung lebihan air disebabkan aktiviti perumahan dan pembangunan.
Maka, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM900,000 untuk membina semula pembentung. -TVS