PUTRAJAYA, 2 Jan: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata pengenalan Pangkalan Data Utama (PADU) adalah selaras dengan pendekatan transformasi digital negara dengan jaminan bahawa setiap kemudahan kerajaan akan dinikmati penerima yang berhak.
Berucap melancarkan PADU di sini hari ini, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata melalui sistem berkenaan, setiap ketirisan dalam penyaluran bantuan dan subsidi kerajaan dapat dielakkan.
“Kita bangunkan sistem negara yang lebih canggih, yang mampu bersaing.
“Perlu tekad baharu dan jangan tolak ansur kerana tanpa PADU terlalu banyak ketirisan, banyak kebocoran dan penipuan. Kalau tidak, tidak ada sebab masih ada kelompok miskin dalam negara,” katanya.
PADU, yang mengandungi profil individu dan isi rumah meliputi warganegara dan pemastautin tetap di Malaysia, merupakan pangkalan data sosio ekonomi negara yang bersepadu dengan menggabungkan data dari jabatan dan agensi kerajaan bagi memberikan gambaran seadilnya mengenai kedudukan sosio ekonomi setiap isi rumah rakyat Malaysia.
Anwar menegaskan penyaluran subsidi tanpa pendekatan digital hanya menyebabkan golongan maha kaya dan warga asing mendapat manfaatnya.
“Subsidi diberi kerajaan dikira dengan nilai ringgit sekarang cecah RM80 bilion dan tidak mungkin Malaysia bertahan mengurus kewangan belanjawan negara kalau hal ini tidak dapat diperbaiki,” katanya.
Anwar berkata keupayaan membina PADU jelas menujukkan jentera kerajaan mampu melaksanakan perkara baharu tanpa bergantung kepada konsultan antarabangsa yang melibatkan kos tinggi.
Menteri Ekonomi Rafizi Ramli sebelum ini berkata PADU dibangunkan sepenuhnya oleh penjawat awam daripada tiga agensi utama iaitu Kementerian Ekonomi, Jabatan Perangkaan (DOSM) serta Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), di samping kerjasama pelbagai agensi lain.
Sementara itu Anwar meminta Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali memantau pelaksanaan sistem PADU agar ia mencapai matlamat yang diidamkan.
“PADU penting, ia menjamin saluran susbidi sampai, dan ia tunjukkan keupayaan serta penyertaan masyarakat secara keseluruhannya,” katanya.
“Kaedah PADU memaksa setiap warganegara faham mengenai transformasi digital dan guna sistem PADU, dan ia menunjukkan ada kecelikan budaya dan digital,” katanya yang turut mengingatkan seluruh jentera kerajaan agar tidak meninggalkan masyarakat miskin bandar, pedalaman dan desa dalam pelaksanaan PADU.
PADU dibuka kepada orang ramai mulai hari ini sehingga 31 Mac ini bagi mengemas kini serta mengesahkan 39 item maklumat peribadi seperti nombor kad pengenalan, bilangan isi rumah dan alamat.
Semua rakyat yang berumur 18 tahun ke atas boleh mendaftar dan membuat semakan data di portal PADU itu bermulai hari ini hingga 31 Mac ini.