Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Dr Mohd Izwan Zulaini Abdul Ghani. Foto TVS

Populasi buaya di Sarawak meningkat, SFC anggar 24,700 ekor

KUCHING, 31 Dis: Populasi buaya di Sarawak merekodkan peningkatan lebih 11,000 ekor dalam tempoh 10 tahun berdasarkan anggaran menerusi kajian yang dilaksanakan Sarawak Forestry Corporation (SFC).

Pegawai Hidupan Liar, Seksyen SWAT dan Penguatkuasaan Sarawak Forestry Corporation (SFC), Dr Mohd Izwan Zulaini Abdul Ghani berkata, survei dilakukan di sungai-sungai utama di Sarawak termasuk lokasi tumpuan.

“Kita anggarkan populasi buaya sekarang meningkat daripada jumlah sebelum ini pada 2014 dengan anggaran 13,500 buaya dan anggaran sekarang ialah dalam lingkungan 24,700 berdasarkan kajian yang telah kita laksanakan.

“Fokus survei adalah di Sungai Samarahan, Sungai Salak, Santubong, Bako, Sungai Suai, Sungai Sarawak, Batang Lupar , Batang Sadong dan untuk semua sungai sehingga lebih 100 kilometer,” katanya.

Kataya, hasil pemerhatian dan kajian mendapati kebanyakan buaya tertumpu di kawasan berpenduduk disebabkan faktor pembuangan sampah selain haiwan ternakan atau peliharaan berada berdekatan dengan sungai.

“Kita sering menerima laporan terdapat buaya di bawah rumah orang, jika dilihat di kawasan yang ada yang dimaklumkan itu akan ternampak sampah berdekatan dan ada juga aduan haiwan peliharaan mereka di makan buaya.

“Jadi faktor ini akan menjadi salah satu penyumbang yang menarik buaya untuk datang dekat sini, dari segi kepadatannya, ia banyak berdekatan dengan kawasan penduduk. Ini sebenarnya yang merisaukan kita, menyebabkan risiko serangan berdekatan dengan komuniti adalah lebih tinggi,” jelasnya.

Malah beliau tidak menolak kenyataan bahawa sikap manusia juga antara faktor yang menyebabkan kehadiran buaya di kawasan kediaman penduduk, ia berdasarkan laporan dan hasil siasatan yang dijalankan termasuk tindakan memberi makanan kepada reptilia berkenaan.

“Kami sedia maklum ada beberapa laporan melalui kes tular dan siasatan susulan dari laporan berkenaan aktiviti memberi makan buaya, saya mohon agar ia dihentikan.

“Apabila buaya ini diberi makan, ia akan sentiasa menunggu di sana, sebagai contoh apa yang dilakukan, orang akan baling makanan ke dalam air, buaya ini dia boleh tahu, boleh belajar apa yang dibaling ke sungai itu adalah makanan.

“Apa yang merisaukan kita apabila budak-budak terjun ke sungai jadi buaya mungkin dapat mengaitkan bahawa kanak-kanak atau individu yang terjun ke dalam sungai itu adalah makanan,” katanya.

Untuk rekod kata Dr Izwan, sebanyak enam kes serangan buaya direkodkan tahun ini dengan empat kematian dan dua lagi cedera. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan