KUCHING, 31 Dis: Warisan seni silat Melayu harus terus dipertahankan supaya ia tidak tenggelam ditelan zaman, kata Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63, Perhubungan Negeri Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samariang berkata, silat bukan sahaja mendidik individu untuk menjadi lebih disiplin tetapi juga mampu menjadi pemboleh ubah kepada anak-anak muda agar tidak terlibat dengan gejala sosial yang tidak sihat.
“Dalam dunia yang serba moden ini sudah tentu banyak cabarannya, ramai anak muda yang terlibat dengan gejala yang tidak sihat. Jadi saya mahu anak-anak kita terlibat dalam seni mempertahankan diri seperti silat ini. Ia bukan sahaja membentuk jati diri, disiplin tapi dalam masa sama kita dapat mempertahankan kesenian dalam bangsa Melayu itu sendiri.
“Inilah perjuangan kita bersama supaya dapat memastikan kesenian silat terus dapat bertahan walaupun dalam kehidupan serba moden,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Pesta Silat Betawi Kali Ke-3, di Gelanggang Utama Perguruan Seni Silat Betawi, Kampung Siol Kandis di sini, malam tadi.
Dalam majlis yang sama, Sharifah Hasidah turut mengumumkan peruntukan bernilai RM5,000 kepada Persatuan Silat Betawi untuk tujuan pengurusan pada tahun depan.
Turut hadir, Pengerusi Rumpun Silat Sarawak (RSS) Bahagian Kuching, Abdul Taib Yusuf.
Sementara itu, Abdul Taib dalam ucapannya berkata, kumpulan pencak silat Sarawak ketika ini sedang giat berlatih untuk persiapan Sukan Sarawak (SUKSAR) Januari depan.
“Untuk makluman semua Rumpun Silat Sarawak telah diberi pengiktirafan sebagai badan induk rasmi persilatan negeri Sarawak yang dinaungi Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, dan ketika ini kumpulan pencak silat sedang giat berlatih untuk SUKSAR dan Sukan Malaysia (SUKMA). – TVS