KUALA LUMPUR, 30 Dis: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menjelaskan bahawa siasatan terhadap bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin dibuat berdasarkan maklumat daripada Kertas Pandora.
SPRM berkata kertas siasatan terhadap Daim dibuka pada Februari lepas.
Kertas Pandora adalah pendedahan berkaitan dokumen sulit golongan kaya dan berpengaruh dunia yang menyembunyikan kekayaan dengan menggunakan perkhidmatan luar pesisir atau syarikat berpangkalan di luar negara.
Menurut SPRM, siasatan ke atas Daim dibuat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
“Bagaimanapun, berdasarkan prinsip undang-undang ‘anggapan tidak bersalah’, seseorang yang disiasat adalah dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan kesalahannya dan individu terlibat mempunyai peluang untuk membersihkan namanya sekiranya kes ini dibicarakan di mahkamah.
“Perlu ditegaskan bahawa SPRM merupakan sebuah suruhanjaya bebas yang bertindak secara profesional mengikut undang-undang dan peraturan yang ditetapkan, serta dipantau oleh lima badan pemantau bebas,” menurut SPRM.
Kes seleweng dana negara RM2.3 bilion: SPRM sita Menara Ilham
Menurut SPRM, pihaknya tidak pernah membangkitkan atau mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi yang menuduh Daim telah melakukan sebarang kesalahan.
“SPRM ingin memperbetulkan fakta berhubung kenyataan Tun Daim mengenai siasatan kes beliau yang telah menimbulkan kekeliruan dan salah faham kepada masyarakat umum,” menurut kenyataan itu.
Berhubung kes berkenaan, suruhanjaya itu memaklumkan bahawa pada 7 Jun lepas, satu notis di bawah Seksyen 36(1)(a) Akta SPRM 2009 (Akta 649) telah diserahkan kepada Daim yang mengkehendaki beliau mengisytiharkan segala aset miliknya sama ada dalam dan luar negara secara bertulis dan akuan bersumpah dalam tempoh 30 hari daripada tarikh notis tersebut.
Menurut kenyataan itu, Daim telah memohon lanjutan tempoh sebanyak lima kali dan telah diberikan lanjutan pada 6 Julai, 10 Ogos, 11 Sept, 11 Okt dan yang terakhir pada 14 Nov tahun ini untuk mengisytiharkan segala aset miliknya.
Sebagai sebahagian daripada proses siasatan SPRM, Pendakwa Raya telah mengeluarkan Notis Penyitaan Menara Ilham pada 18 Dis lepas di bawah Seksyen 38 (1), Akta SPRM 2009 (Penyitaan Harta Tak Alih).
SPRM menggesa semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes itu dan membenarkan siasatan diteruskan tanpa gangguan.
Pada 18 Dis, media melaporkan SPRM menyita bangunan Menara Ilham dipercayai berkaitan kes penyelewengan dana negara berjumlah lebih RM2.3 bilion membabitkan seorang tokoh korporat dan bekas menteri kanan.