KUCHING, 29 Dis: Masyarakat terutama golongan petani dan pemilik kebun diingatkan sentiasa berwaspada dengan sarang buaya yang mungkin berada di kawasan berdekatan khususnya ketika musim tengkujuh.
Ini kerana peralihan monsun timur laut atau musim hujan akan menyebabkan reptilia itu lebih aktif dan agresif selepas mengawan.
Pegawai Hidupan Liar, Seksyen SWAT dan Penguatkuasaan Sarawak Forestry Corporation (SFC), Dr Mohd Izwan Zulaini Abdul Ghani berkata pihaknya telah menerima beberapa aduan berhubung penemuan sarang buaya di kawasan kebun dan ladang sebelum ini.
“Sebab itu dalam laporan yang kita terima sejak beberapa tahun kebelakangan ini kebanyakan sarang yang kita jumpa di dalam ladang penduduk seperti ladang sawi, kebun, sawah padi, jadi sebab itu SFC selalu kongsi dalam Facebook.
“Macam mana rupa sarang, mungkin sesetengah orang anggap ia adalah satu benda yang biasa seperti gumpalan rumput, tetapi mungkin ia adalah sarang buaya, biasanya buaya betina akan berada berdekatan, kalau kita masih ingat kes di Taman Malihah, apabila anggota kami cuba mendekati sarang, buaya itu bertindak menyerang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Pejabat Taman Negara Tanah Lembab (Wetland) Kuching di Telaga Air baru-baru ini.
Malah kata Dr Izwan, sarang buaya boleh berada sejauh 100 meter dari sungai bahkan sehingga satu kilometer di daratan.
“Kebanyakan kes kami kendalikan memang ada jumpa buaya betul-betul berada bersebelahan dengan sarang jadi kita mohon komuniti sentiasa berwaspada terutama mereka yang pergi ke kebun.
“Sarang dia boleh berada sejauh lebih 100 meter daripada sungai ke darat ada juga di sesetengah ladang sawit kami jumpa sehingga satu kilometer mungkin ia masuk melalui parit,” jelasnya.
Menurutnya SFC telah memasang secara strategik 213 papan tanda amaran di kawasan berisiko tinggi dan kerap dilihat di seluruh Sarawak, dengan 98 papan tanda di Bahagian Kuching sahaja.
Papan tanda amaran terbaharu dipasang di Kampung Sungai Midin pada 27 Disember berikutan permintaan penduduk kampung memandangkan buaya sering dikesan di kawasan itu.
Izwan menggesa orang ramai mengelak dan mengurangkan aktiviti berhampiran sungai terutama di tempat memasang papan tanda amaran. – TVS