NEW YORK, 29 Dis: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres dalam perutusan video sempena tahun baharu menggesa semua pihak merenungi cabaran dan ujian yang dihadapi tahun lalu serta berharap perpaduan yang lebih kukuh untuk tahun hadapan, lapor Xinhua.
“Tahun 2023 telah menjadi tahun penderitaan, keganasan dan perubahan iklim yang tidak menentu.
“Manusia menderita dan planet kita diancam bahaya. Tahun 2023 merupakan tahun terpanas yang pernah direkodkan,” kata Guterres.
Ketua PBB itu turut menekankan bahawa kemiskinan dan kelaparan masih melanda penduduk dunia manakala konflik dan peperangan terus memuncak.
Guterres menyeru agar tidak saling menyalahkan dan mengelak daripada melakukan kekerasan kerana “menuding jari dan menggunakan senjata api tidak membawa sebarang faedah.”
Beliau berharap 2024 akan menjadi tahun untuk “membina semula kepercayaan dan mengembalikan harapan.”
“Kita mesti bersatu tanpa mengira perbezaan untuk penyelesaian bersama, termasuk mengambil tindakan tegas mengenai perubahan iklim, mencipta peluang ekonomi dan mewujudkan sistem kewangan global yang lebih adil yang memberi faedah kepada semua,” katanya.
Guterres juga menekankan keperluan untuk memerangi diskriminasi dan kebencian yang telah meregangkan hubungan antara pelbagai negara dan komuniti.
Ketua PBB itu turut mengesahkan komitmen tidak berbelah bahagi badan dunia berkenaan untuk menghimpunkan masyarakat global demi hak asasi manusia, perdamaian dan pembangunan mampan.
“Mari kita semua berazam untuk menjadikan 2024 sebagai tahun membina kepercayaan dan melakar harapan agar kita dapat bersama-sama menggapainya.
“Saya mengucapkan selamat menyambut tahun baharu kepada anda,” kata ketua PBB itu. – TVS