KUCHING, 29 Dis: Persiapan dan persediaan Sambutan Ambang Tahun Baharu 2024 peringkat Sarawak yang bakal berlangsung di Tebingan Kuching berjalan lancar.
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Seni Sarawak (MSS), Dayang Mariana Abang Bolhassan berkata, persiapan dari segi aspek teknikal dan persembahan telah mencapai kemajuan 90 peratus dan ia disifatkan sebagai sudah bersedia meskipun berbaki beberapa hari lagi.
“MSS masih lagi dalam persiapan tetapi secara keseluruhannya semua telah disusun atur seperti yang dirancang bagi memastikan malam berkenaan akan menjadi malam yang terbaik untuk semua yang hadir.
“Dari aspek teknikal kita sudah bersedia dan penyanyi sudah tahu lagu yang mereka akan nyanyikan. Persiapan kita sekarang ini sudah capai 85 ke 90 peratus, dengan berbaki dua hari lagi kita akan pastikan semuanya berjalan lancar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui TVS semasa hadir meninjau sesi raptai Sambutan Ambang Tahun Baharu 2024 peringkat Sarawak di Tebingan Kuching, malam tadi.
Hadir sama, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Sementara itu mengulas mengenai kelainan persembahan yang akan ditampilkan pada sambutan kali ini, Dayang Mariana memberitahu bahawa edisi kali ini menyaksikan lebih banyak persembahan melibatkan kanak-kanak.
“Pada sambutan tahun lalu kita tidak libatkan kanak-kanak dalam persembahan, tetapi tahun ini kita banyak tampilkan mereka yang akan mengetengahkan seni persembahan kreatif dari negeri ini.
“Sambutan pada tahun ini juga akan menampilkan ramai kumpulan kreatif dari Sarawak termasuk kumpulan tari yang dibimbing MSS sendiri,” ujarnya
Dayang Mariana menambah, pengunjung yang hadir turut akan dihiburkan dengan persembahan artis popular tanah air, antaranya Dato Amy Search, Datuk Zainal Abidin, Hael Husaini, Kumpulan Floor 88 dan Kumpulan De Fam.
Selain daripada persembahan hiburan, sambutan pada tahun ini turut diwarnai dengan acara khas iaitu perasmian tiang bendera tertinggi di Malaysia dan Asia yang bakal disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg. – TVS