KUCHING, 27 Dis: Pemain bola sepak pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC, Mohammad Zharmien Ashraf Ismail tidak menyangka video menimang bola yang dimuat naik menerusi akaun TikToknya ‘meletup’ apabila mendapat lebih 17 juta tontonan.
Pemain sayap berasal dari Kampung Iboi Ulu Sadong Jaya, Sarawak itu berkata, dia bersama rakan sepasukannya menghasilkan video berkenaan pada bulan lalu selepas latihan pasukan di padang Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti, Alor Setar.
Katanya idea menghasilkan video itu tercetus selepas beberapa pemilik akaun TikTok berbuat perkara sama.
“Sebelum saya hasilkan video itu, sudah viral pemilik TikTok lain lakukan teknik timang dan lambung bola ke udara secara solo.
“Video saya berbeza apabila aksi berkenaan dilakukan secara duet, mungkin ada kelainan yang menyebabkan viral,” katanya kepada TVS.
Setakat semalam video itu ditonton lebih 17.2 juta orang serta mendapat 1.6 juta tanda suka.
Mohammad Zharmien Ashraf, 21, berkata, dia juga tidak menyangka video berdurasi 12 saat itu turut menerima lebih sembilan ribu komen dan dikongsi sebanyak 17 ribu pengguna.
Sementara itu ditanya sama ada dia akan bertukar karier sebagai ‘content creator’ selepas ini, bekas pemain remaja kebangsaan itu berkata, dia akan kembali fokus kepada kariernya sebagai pemain bola sepak profesional.
“ Cuma kalau mempunyai masa lapang, mungkin saya buat beberapa video,” katanya.
Ditanya mengenai masa depan dalam bola sepak, Mohammad Zharmien Ashraf yang menamatkan saingan Liga Super 2023 di tempat keempat tahun ini mengakui kontraknya bersama pasukan Hijau Kuning akan tamat pada hujung tahun ini.
“Setakat ini belum ada maklumat daripada KDA FC untuk sambung kontrak saya.
“Kalau ada pasukan yang berminat, saya akan pergi dan buat yang terbaik untuk musim 2024/2025,” katanya.
Pada tahun lepas, bekas pemain futsal remaja kebangsaan ini menyarung jersi Sarawak United. – TVS