KUCHING, 27 Dis: Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) meluluskan geran berjumlah RM134,920 bagi menambah baik persekitaran pembelajaran di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJKC) Sim Hap Hin di Kuching.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa, Wilfred Yap Yau Sin berkata geran terbabit akan digunakan untuk membiayai pembelian meja dan kerusi baharu, pemasangan Wi-Fi di sekitar kawasan sekolah serta laluan pejalan kaki sekolah.
“Pada masa sama, hasil kerjasama antara sekolah mubaligh dan Kerajaan Sarawak melalui UNIFOR mencerminkan visi Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk memperkasakan generasi akan datang dengan sumber yang diperlukan untuk masa depan yang lebih cerah,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook rasminya hari ini.
Pada masa sama, kata Wilferd ia juga adalah bagi mencerminkan dedikasi dan komitmen GPS untuk mencipta impak positif serta menyokong komuniti di kawasan DUN Kota Sentosa.
Katanya lagi, SJK Sam Hap Hin ialah sekolah misi katolik dan melalui kerja keras dan usaha lembaga pengurusan sekolahnya serta guru-guru telah menunjukkan dedikasi secara konsisten untuk menyediakan pengalaman pendidikan yang produktif untuk semua pelajarnya yang berbilang budaya dan agama dari kawasan sekitar Batu 7.
Wilfred juga berjanji akan terus berusaha mengutamakan kebajikan dan prospek pendidikan kepada pelajar-pelajar di kawasannya dan berharap agar mereka terus menggapai impian mereka dalam suasana persekitaran yang lebih baik bagi kemajuan dan pembangunan kawasan DUN Kota Sentosa. – TVS