Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Bendahari LAKIL, Mahmud Amit bersama jawatankuasa LAKIL Limbang pada Program Berkhatan Beramai-ramai. Foto: TVS

LAKIL rai lebih 1,000 kanak-kanak berkhatan sejak 2003

LIMBANG, 27 Dis: Lebih 1,000 orang kanak-kanak Islam terutama di luar bandar di daerah ini diraikan dalam Program Berkhatan Beramai-ramai anjuran Lembaga Amanah Kebajikan Islam Limbang (LAKIL) yang diadakan sejak 20 tahun lepas.

Bendaharinya, Mahmud Amit mendedahkan program berkenaan diadakan bermula 2003 bertujuan untuk memudahkan kanak-kanak Islam luar bandar berkhatan secara percuma.

“LAKIL menganjurkan Program Berkhatan Beramai-ramai untuk memudahkan dan meringankan beban mereka dari luar bandar menyertai program ini.

“Program ini diadakan sejak 2003, iaitu hampir 20 tahun dan berjaya mengkhatan melebihi seribu orang pada ketika ini,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Berkhatan Beramai-ramai anjuran LAKIL Limbang di Hospital Limbang hari ini.

Menurutnya, program kali ini menyaksikan lebih 30 orang kanak-kanak Islam menyertai program itu termasuk anak yatim dan mualaf.

Sementara itu, salah seorang peserta, Mohd Fazli Fakri Pindi, 11, bersemangat untuk bangun seawal jam 5 pagi untuk menyertai program berkenaan ditemani ayah tersayang.

Pelajar yang berasal dari Kampung Buang Abai itu mengakui berasa gementar namun tidak sabar untuk ‘menjadi dewasa’ dengan menyertai program yang dituntut agama itu.

“Perasaan saya sebelum bersunat ini sangat teruja dan berdebar dan sudah bangun pukul 5 pagi ditemani ayah hari ini,” katanya.

Bagi Muhd Hamizan Rosli, 11,  dari Taman Seri Patiambun menyifatkan Program Berkhatan Beramai-ramai anjuran LAKIL itu sangat membantu peserta untuk berkhatan.

Katanya, sebaik menyedari penganjuran program itu minggu lepas, beliau tidak melepaskan peluang untuk menjadi salah seorang peserta program yang dapat berkhatan tahun ini.

“Perasaan saya sekarang ini sangat gementar tapi sedikit teruja apabila mengetahui Program Berkhatan Beramai-ramai saya tidak melepaskan peluang untuk menyertainya,” ujarnya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan