KUCHING, 25 Dis: Tiga kumpulan popular dari Indonesia ST12, Nidji dan Dadali bakal membuat persembahan pada Konsert SarXIndo yang akan berlangsung di Kampung Budaya Sarawak pada 29 dan 30 Disember ini.
Penaung KM Beauty dan King Motorcycle Club, Iskandar Ali berkata, konsert berkenaan dianjurkan bertujuan untuk menarik pelancong luar ke bandar raya ini yang menawarkan pelbagai tempat menarik untuk dilawati.
Kata Iskandar, beberapa artis Sarawak juga akan terlibat dengan konsert berkenaan.
“Pada 29 Disember, barisan artis yang akan membuat persembahan termasuklah Alu Alu Band, Senseless, DJ Kyushee, DJ Alexisgrace dan DJ Len.
“Seterusnya pada 30 Disember, penonton bakal dihiburkan dengan persembahan oleh tiga kumpulan Indonesia berkenaan serta kehadiran DJ Cha Cha dan DJ Cassie D.
“Kita menyasarkan lebih 12,000 penonton akan hadir pada konsert berkenaan dan kini sedang pergiatkan promosi pada saat akhir,” katanya kepada TVS hari ini.
Iskandar memberitahu, harga istimewa RM100 ditawarkan kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) swasta dan kerajaan.
Maklumat lanjut boleh didapati dengan melayari laman sesawang https://www.ticket2u.com.my/event/32941/borneo-sarxindo-concert.