GUA MUSANG, 25 Dis: Empat lelaki mangsa banjir termasuk dua warga asing berjaya diselamatkan oleh pasukan bomba selepas terperangkap di atas pokok dalam kebun sayur bersebelahan Sungai Brooke dekat Pos Blau, di sini, hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Nor Azizi Che Noh berkata, mangsa yang merupakan dua lelaki warga tempatan dan dua warga Myanmar berusia lingkungan 24 hingga 69 tahun, terperangkap lebih empat jam di atas pokok rambai apabila tempat tinggal mereka di dalam kebun sayur itu hanyut dibawa arus deras sungai.
“Kesemua mangsa melarikan diri ke stor baja sebelum terpaksa memanjat pokok tersebut untuk menyelamatkan diri kira-kira 5 pagi tadi dan terus menghubungi majikan mereka berhubung kejadian tersebut.
“Seramai lapan anggota bergegas menaiki tiga kenderaan pacuan empat roda (4WD) ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan kira-kira 7.30 pagi dan kesemua mangsa berjaya diselamatkan pada 9.30 pagi tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Nor Azizi berkata, sebuah bot penyelamat turut digunakan untuk meredah arus sungai dalam usaha membawa mangsa turun dari atas pokok ke tempat yang selamat.
“Kejadian awal pagi tersebut berlaku berhampiran lokasi jalan Lojing-Pos Blau-Kuala Betis yang terputus hubungan baru-baru ini apabila dinaiki air sedalam lebih dua meter sejauh 150 meter,” katanya – TVS