GOMBAK, 24 Dis: Seorang wanita yang terdengar perbualan mengerikan jirannya iaitu meminta tolong menanam mayat bertindak membuat laporan polis yang kemudiannya membongkar kes pembunuhan di Sungai Choh, Rawang, malam tadi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Ariffin Mohamad Nasir berkata, pada 11.25 malam tadi, pihaknya telah menerima laporan daripada seorang wanita tempatan berusia 27 tahun yang memaklumkan terdengar pergaduhan membabitkan jirannya pagi semalam.
Kata Ariffin, pada pukul 5 petang, wanita itu terdengar perbualan suami dan abang ipar jirannya yang meminta tolong menanam satu mayat.
“Hasil siasatan, polis menjumpai mayat seorang lelaki warga tempatan tanpa pengenalan diri yang ditanam di dalam satu lubang di belakang rumah.
“Susulan itu, polis telah menahan dua lelaki warga tempatan berumur 29 dan 33 tahun serta seorang perempuan tempatan berusia 32 yang disyaki terlibat dalam kes ini,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Katanya, mangsa datang ke rumah berkenaan bersama beberapa suspek yang masih bebas.
“Mangsa dipercayai dipukul dengan kayu, botol kaya dan tong besi sehingga mati,” katanya.
Beliau memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. -TVS