KUCHING, 24 Dis: Sarawak mengulangi permintaan agar proses persempadanan semula kawasan pilihan raya dilaksanakan segera, kata Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.
Beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perhubungan Negeri-Persekutuan) berkata, ini kerana persempadanan semula kawasan pilihan raya yang kali terakhir dilakukan sudah mencapai tempoh matang.
Kata Sharifah Hasidah, selepas lapan tahun, perkara itu wajar dilakukan kerana sudah tiba masanya.
“Ini masa yang tepat untuk laksanakan persempadanan semula.
” (Proses persempadanan semula ini tidak kaitan sama ada) Gabungan Parti Sarawak (GPS) atau Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kuat atau tidak, memang sepatutnya persembadanan semula ini dilaksanakan selepas lapan tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir Karnival Sukan SABERKAS (KASUS) Cawangan Samariang di sini hari ini.
Sebelum ini, Dewan Rakyat dimaklumkan proses persempadanan semula kawasan pilihan raya di Sarawak telah bermula pada tahun ini manakala Sabah dijangka tahun depan manakala Semenanjung Malaysia akan bermula pada 2026.
Sementara itu, Sharifah berkata, tuntutan persempadanan semula kawasan pilihan raya bagi menambah jumlah kerusi Parlimen dari wilayah Borneo juga selari dengan agenda MA63.
“Ini untuk memastikan perjuangan untuk menambah wakil rakyat dari Sabah dan Sarawak hingga 35 peratus di Parlimen dapat dicapai,” katanya.
Persempadanan semula itu kata beliau juga bagi memastikan sebarang pindaan Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dilakukan tanpa sokongan wakil rakyat dua wilayah ini. -TVS