KUCHING, 24 Dis: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan membangunkan modul kursus yang komprehensif dalam penjagaan dan sokongan terhadap Orang Kurang Upaya (OKU) mulai tahun hadapan.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, tumpuan khusus akan diberikan kepada kumpulan tersebut bagi membangunkan potensi secara menyeluruh dalam kalangan golongan berkenaan.
“Tahun ini ditutup dengan rancangan penuh harapan bagi 2024, khusus untuk penjagaan dan sokongan OKU.
“Kementerian akan membangunkan modul kursus bertujuan untuk memupuk pembangunan potensi holistik mereka,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pihaknya juga telah meningkatkan elaun pelatih OKU dalam Program Pemulihan Berasaskan Komuniti (PPDK) daripada RM150 kepada RM300 sebulan sebagai komitmen terhadap pemerkasaan dan kebajikan.
“KPWKM juga akan melaksanakan pelbagai dasar dan program yang inklusif termasuk dalam penjagaan kanak-kanak dan warga emas, selain memastikan perkhidmatan yang ditawarkan adalah boleh diakses dan berkualiti tinggi.
“Inisiatif ini bukan sekadar memberi penjagaan, tetapi juga bagi mewujudkan peluang pekerjaan yang mampan, memupuk budaya empati dan menyokong serta membina masyarakat yang berdaya tahan dan penyayang,” katanya.
Sementara itu, menyentuh mengenai bencana banjir, masyarakat diminta untuk terus berada dalam keadaan berwaspada dengan mendapatkan maklumat terkini ramalan cuaca, selain peka terhadap kedudukan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang terdekat.
“Kita juga mahu komuniti setempat memastikan perancangan kecemasan dikongsi bersama dalam menjaga keselamatan setiap individu.
“Saya juga berharap agar orang ramai terus menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan, terutamanya warga emas dan ahli komuniti kita yang terkesan dengan bencana,” ujarnya. -TVS