KUCHING, 24 Dis: Sejumlah 27 kes serangan buaya direkodkan di Sarawak sejak Ogos 2018 hingga Oktober 2023.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Datu Khirudin Drahman berkata, kes tertinggi berlaku pada 2021 dengan membabitkan sembilan mangsa.
Khirudin memberitahu, berlaku penurunan kes pada 2022 dan 2023 iaitu masing-masing dengan hanya empat dan dua kes.
“Daripada jumlah ini, daerah yang merekodkan kes tertinggi ialah di Betong dan Lundu iaitu masing-masing dengan tiga kes,” katanya ketika dihubungi TVS hari ini.
Mengulas lanjut, Khirudin berkata, sehingga Oktober 2023, dua kes direkodkan iaitu di Kampung Boom, Oya, Mukah melibatkan seorang nelayan berusia 58 tahun yang dibaham reptilia ganas itu ketika sedang menjala udang di sungai pada Mei lalu.
Kes kedua melibatkan seorang tuai rumah yang dipercayai disambar buaya di Sungai Skrang, Rumah Baloi Skim Skrang, Betong pada Ogos lalu.
Semalam, satu lagi kes serangan buaya berlaku di Kuching melibatkan seorang remaja berusia 15 tahun yang mayatnya ditemukan tidak sempurna pagi tadi.
Mangsa, Mohammad Faqrul Zaimi, 15, dibaham sang bedal ketika sedang menjala udang di Sungai Samariang Aman. -TVS