SIBU, 23 Dis: Orang ramai diingatkan supaya lebih berwaspada dan mengutamakan kebersihan diri sepanjang tempoh perayaan Krismas yang menjelang tiba berikutan peningkatan penularan wabak COVID-19.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, orang ramai perlu lebih berhati-hati pada musim perayaan ini dengan berwaspada dan sentiasa menjaga kebersihan diri sepanjang tempoh perayaan.
“Penularan mudah berlaku semasa musim perayaan. Ini mudah sahaja dipratikkan dengan mengamalkan kebersihan diri termasuk kerap mencuci tangan, jaga kesihatan dan jaga diri.
“Jika ada gejala seperti batuk dan selsema, asingkan diri daripada masyarakat lain dahulu,” katanya kepada media selepas menyerahkan sumbangan Hari Krismas kepada masyarakat Melanau Kristian di Jalan Abang Barieng di sini, hari ini.
Beliau menegaskan tiada salahnya masyarakat mengamalkan langkah keselamatan bagi mengelak penularan wabak COVID-19 demi keselamatan semua komuniti.
Dalam pada itu, beliau menasihati orang ramai yang ingin pulang ke kampung atau ke mana-mana destinasi pada musim perayaan ini supaya memandu secara berhemah dan berhati-hati semasa berada di atas jalan raya.
“Pandu dengan selamat, tidak kira laju atau lambat asalkan selamat sampai di destinasi,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka.
Sementara itu, beliau telah pergi ke beberapa rumah di Kampung Barieng untuk mengucapkan Selamat hari Krismas serta menyampaikan sumbangan berupakan air minuman dan kek.
Program tersebut dianjurkan oleh Ranting Parti Pesaka Bumiputera (PBB) Kampung Abang Barieng. – TVS