KUCHING, 22 Dis: Masyarakat Islam serta badan bukan kerajaan (NGO) Islam di Sarawak diharapkan agar terus menabung bersama Tabung Haji (TH).
Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MIS) Datuk Misnu Taha berkata, pengwujudan TH pada dasarnya adalah untuk membantu umat Islam di negara ini untuk mempunyai simpanan bagi pelbagai tujuan termasuk menunaikan ibadah haji.
Katanya, menerusi dana daripada tabungan itu akan dapat membolehkan TH untuk menyumbang semula kepada kebajikan masyarakat Islam di negara ini.
“Simpanan kita di tabung haji membantu TH untuk memberikan lebih banyak sumbangan kepada masyarakat Islam dimana sahaja mereka berada di Malaysia ini.
“Sebagai contoh sumbangan seperti Van Jenazah ini serta pelbagai sumbangan-sumbangan lain terutama kepada golongan Asnaf dan B40 akan sedikit sebanya membantu meringankan beban mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Zakat TH 2022 kepada MIS di sini, pada Jumaat.
Terdahulu, majlis menyaksikan zakat berjumlah RM1,886,165.94 diserahkan oleh TH kepada Tabung Baitulmal Sarawak oleh Pengarah Wilayah Sabah dan Sarawak TH, Datuk Nurlaila Said.
Bayaran zakat berkenaan merupakan satu tanggungjawab sosial koporat TH terhadap kebajikan umat islam di Malaysia. -TVS