MUKAH, 22 Dis: Seorang pelajar Tingkatan Empat maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh belakang sebuah lori di Kilometer (km) 116 Jalan Pan Borneo Sibu-Bintulu, berhampiran Sungai Arip, Selangau pada Khamis.
Pada kejadian jam 6.30 petang itu, mangsa Gelbert Cassdy Laman Minggu, 16, yang berasal dari Rumah Akat Bukit Mengris, Sungai Kemena, Selangau meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintendan (DSP) Muhamad Rizal Alias berkata, kemalangan membabitkan sebuah motosikal jenis Honda Wave dan sebuah lori yang bergerak dari arah sama dari Bintulu.
“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal Honda Wave melanggar bahagian belakang lori yang sedang bergerak dari arah sama.
“Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami cedera parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Klinik Kesihatan Sungai Arip,” katanya menerusi kenyataan semalam.
Menurutnya pemandu lori berusia 40 tahun terbabit dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Siasatan lanjut juga mendapati mangsa tidak mempunyai lesen memandu dan mayat mangsa kemudian dihantar ke Bilik Mayat Hospital Mukah untuk tindakan lanjut,” ujarnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – TVS