BUTTERWORTH, 21 Dis: Dendam dan marah kerana perasaan cinta terhadap ibu saudara dipercayai menjadi punca seorang pemuda 29 tahun bertindak menetak wanita itu dalam kejadian di Raja Uda di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner (ACP) Mohd Asri Shafie berkata, suspek bertindak demikian menggunakan sebilah parang kerana dia menyimpan perasaan terhadap wanita berusia 42 tahun itu.
“Suspek marah dan berdendam terhadap ibu saudaranya kerana masalah berkaitan percintaan antara mereka.
“Mangsa dikatakan enggan melayan suspek menyebabkan dia marah sebelum bertindak menyerang dan menetak wanita itu sehingga maut,” katanya kepada pemberita hari ini.
Ujar beliau, suspek yang sedang dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) dekat sini direman selama seminggu dan akan dituduh mengikut seksyen 302 Kanun Kesiksaan kerana membunuh.
Kelmarin, TVS melaporkan seorang wanita meninggal dunia di Hospital Seberang Jaya dekat sini selepas ditetak beberapa kali pada belakang leher oleh seorang lelaki di Raja Uda di sini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan suspek mendekati mangsa yang sedang berjalan dengan seorang wanita dari arah belakang sebelum bertindak menetak leher mangsa beberapa kali.
Lelaki itu kemudiannya melarikan diri dengan motosikal dan telah terjun ke dalam laut dari Jambatan Pulau Pinang dipercayai kerana cuba membunuh diri.
Dia bagaimanapun berjaya diselamatkan oleh nelayan dan dirawat di HPP akibat kecederaan. – TVS