KUCHING, 21 Dis: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyambut baik langkah yang diambil Kementerian Pengangkutan (MOT) yang memberi tambang percuma kepada pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) di kesemua perkhidmatan kenderaan awam kendalian Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) mulai 1 Feb 2024.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, inisiatif berkenaan amat bermakna serta mampu membuka lebih banyak peluang untuk komuniti OKU.
Tambang percuma OKU untuk semua perkhidmatan Prasarana mulai 1 Feb
Kata Nancy, keputusan itu turut menyokong usaha KPWKM membangunkan masyarakat yang lebih inklusif.
“Ini selaras dengan perbincangan saya dan Menteri Pengangkutan pada awal tahun ini yang telah memaklumkan persetujuan secara prinsip terhadap cadangan ini dan akan mencari mekanisme yang bersesuaian untuk melaksanakannya.
“Inisiatif ini membuktikan bahawa Kerajaan Perpaduan hari ini adalah kerajaan yang cakna dan prihatin terhadap kebajikan rakyat,” katanya.
Terdahulu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke hari ini berkata inisiatif itu melibatkan semua perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT), Transit Aliran Ringan (LRT), monorel dan bas Prasarana di sekitar Lembah Klang.
Anthony berkata, Prasarana diberi tempoh sebulan untuk melakukan persiapan dan menyelaraskan sistem tiket termasuk pemberian kad konsesi khas kepada pengguna OKU.
Loke menjelaskan, inisiatif itu adalah penambahbaikan berbanding pas konsesi sebelum ini yang menawarkan diskaun 50 peratus bagi tambang perjalanan untuk penumpang OKU. – TVS