KUCHING, 21 Dis: Sarawak merekodkan sebanyak 631 kes positif baharu COVID-19 bagi Minggu Epidemiologi ke-50 (ME50) bertarikh 10 hingga 16 Disember lepas.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, tiada kematian baharu dicatatkan sekali gus jumlah yang maut akibat wabak berkenaan di sini kekal sembilan orang pada tahun ini.
Sarawak umum langkah akan dilaksanakan ekoran peningkatan kes COVID-19 esok
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, jumlah kes baharu yang dicatatkan pada ME50 menunjukkan peningkatan berbanding 310 kes pada ME49.
“Selain itu terdapat trend peningkatan jumlah kes COVID-19 yang dimasukkan ke hospital sejak awal November 2023.
“Pada ME50, terdapat 45 pesakit dirawat hospital dengan kategori tiga, empat dan lima berbanding minggu sebelumnya sebanyak 25 kes,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Sementara itu beliau memaklumkan, Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM4.85 juta sebagai persediaan menghadapi lonjakan kes di sini.
Katanya, perbelanjaan itu akan disalurkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak untuk melaksanakan beberapa langkah tambahan.
“Daripada jumlah peruntukan itu, RM2 juta dikhususkan untuk membina hospital lapangan di Kuching dan RM2.1 juta untuk pembelian ubat antiviral Paxlovid.
“RM300,000 pula untuk membeli stok kit ujian RTK profesional dan air liur bagi mendapatkan keputusan yang pantas,” katanya.
Kerajaan Sarawak juga kata beliau menyalurkan RM450,000 untuk memasang kanopi di kawasan hospital sebagai persiapan peningkatan pesakit yang datang ke hospital. -TVS