JAKARTA, 21 Dis: Sebuah bot KM Bigetron yang membawa 37 penumpang dan kru karam di perairan Pulau Ambo, Mamuju, Sulawesi Barat petang semalam.
Bot itu berlepas ke Wilayah Sumare dari jeti pulau berkenaan sebelum disahkan terputus hubungan pada pukul 4 petang.
Ketua Pejabat Pasukan Mencari dan Menyelamat (SAR) Mamuju, Mohamad Rizal berkata, selepas pihaknya menerima laporan kejadian, pasukan segera dikerah ke lokasi kejadian.
“Bot itu ditemui oleh nelayan tempatan kira-kira 25 batu nautika dari Kampung Sumare dalam keadaan terbalik.
“Pasukan penyelamat yang tiba kemudian membantu memindahkan mangsa,” katanya menerusi kenyataan media.
Seramai 33 orang berjaya diselamatkan namun dua disahkan meninggal dunia selepas terperangkap dalam bot manakala dua lagi masih hilang. -TVS