KUCHING, 21 Dis: Atlet Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak yang menunjukkan simptom jangkitan COVID-19 akan diarahkan menjalani kuarantin.
Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS), Awang Putrayusrie Awang Redzuan berkata, tindakan itu sebagai langkah berjaga – jaga dan bagi memastikan persiapan kontinjen Sarawak selaku tuan rumah tidak terjejas.
Kata beliau, persatuan sukan di Sarawak juga diarahkan sentiasa memantau tahap kesihatan atlet masing – masing.
“Sekiranya terdapat atlet yang bergejala, mereka akan dibenarkan berehat dan mesti maklumkan kepada jurulatih masing-masing.
“Itu antara langkah kawalan yang kita lakukan ketika ini, tiada arahan khas setakat ini, kita sedar perkembangan terkini mengenai COVID-19,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sidang media Sukan Sarawak (SUKSAR) 2024 di Bangunan Baitulmakmur 2 di sini pada Khamis.
Berkenaan latihan atlet ketika ini, Awang Putrayusrie berkata, sebarang keputusan akan dibuat mengikut keperluan.
“Setakat ini latihan atlet masih berjalan seperti biasa, MSNS berada dalam fasa penyediaan senarai panjang atlet Sarawak yang akan beraksi pada SUKMA 2024,” katanya. -TVS