KUCHING, 20 Dis: Syarikat perkapalan yang berpangkalan di Israel, ZIM tidak dibenarkan untuk berlabuh di mana-mana pelabuhan di Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dicapai sebagai tindak balas terhadap tindakan Israel yang mengenepikan prinsip asas kemanusiaan dan melanggar undang-undang antarabangsa menerusi kekejaman ke atas warga Palestin.
“Kementerian Pengangkutan akan mengambil tindakan segera dengan mengenakan larangan kekal terhadap syarikat ini, berkuat kuasa serta merta dari sekarang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Untuk rekod, Kabinet pada 2002 mula membenarkan kapal milik syarikat tersebut berlabuh di Malaysia dan pada 2005, Kabinet ketika itu membenarkan kapal tersebut mendarat di Malaysia.
Namun, kerajaan hari ini memutuskan untuk membatalkan semua keputusan Kabinet yang lalu.
“Pada masa yang sama, kerajaan turut memutuskan untuk tidak lagi menerima kapal yang menggunakan bendera Israel untuk berlabuh di negara ini.
“Selain itu, Malaysia turut mengenakan larangan kepada mana-mana kapal yang dalam perjalanan menuju ke Israel daripada memuatkan kargo di pelabuhan Malaysia,” ujarnya lagi.
Jelas Anwar, kedua-dua sekatan tersebut berkuat kuasa serta merta dan beliau yakin keputusan tersebut tidak akan menjejaskan kegiatan perdagangan Malaysia. -TVS