BUTTERWORTH, 20 Dis: Suspek yang menetak sehingga mati seorang wanita berusia 42 tahun dengan sebilah parang di Jalan Raja Uda di sini sebelum terjun dari Jambatan Pulau Pinang semalam, merupakan anak saudara mangsa.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner (ACP) Mohd Asri Shafie berkata, pihaknya bagaimanapun sedang melakukan siasatan lanjut berhubung motif kejadian.
“Siasatan mendapati mangsa merupakan ibu saudara suspek berusia 29 tahun itu.
“Suspek yang sedang dirawat di Hospital Pulau Pinang di George Town direman selama seminggu bermula hari ini bagi siasatan lanjut,” katanya kepada pemberita hari ini.
Sementara itu, berdasarkan Rakaman Kamera Litar Tertutup (CCTV) di premis berhampiran, mangsa dilihat berjalan beriringan dengan seorang wanita lain sebelum didatangi dari arah belakang oleh seorang lelaki yang berlari.
Lelaki itu dilihat telah menetak pada belakang leher mangsa sehingga menyebabkan wanita itu jatuh ke tanah dan suspek kemudian menetak pada bahagian atas badan dengan bertubi-tubi sebelum melarikan diri.
Media semalam, melaporkan seorang wanita meninggal dunia di Hospital Seberang Jaya pada 11.58 pagi dengan kesan cedera pada belakang leher dan bahu kiri selepas ditetak dengan sebilah parang oleh seorang lelaki kira-kira pukul 11 pagi di Jalan Raja Uda di sini.
Suspek kemudiannya cuba membunuh diri dengan bertindak terjun ke dalam laut dari Jambatan Pulau Pinang, namun dia diselamatkan oleh nelayan. – TVS