SAMARAHAN, 20 Dis: Kerajaan Sarawak membelanjakan RM1.6 bilion untuk melaksanakan Projek Jalan Utama Kedua sejauh 50.54 kilometer (km) dari Jambatan Batang Samarahan hingga Jambatan Batang Lupar.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Ir. Aidel Lariwoo berkata, pakej lain di bawah projek berkenaan termasuklah pembinaan Jambatan Batang Samarahan serta jalan empat lorong dua hala dari Batang Samarahan ke Batang Sadong sejauh 22 km.
Ujar beliau, pembinaannya telah bermula pada Oktober lepas secara serentak setelah kontrak diberikan kepada kontraktor terlibat.
“(Selain itu akan turut dibina ialah) Jambatan Batang Sadong ke Jambatan Batang Lupar serta jalan dua lorong sehala sejauh 27.7 km,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan kerja permulaan projek berkenaan di sini hari ini
Mengulas lanjut, Aidel berkata, pelaksanaan projek berkenaan akan memanfaatkan penduduk di kawasan persisir kerana akan menerima akses ke Lebuhraya Pan Borneo.
“Ini kerana ia berada di tengah-tengah laluan antara jalan pesisir Sarawak dan Lebuhraya Pan Borneo,” katanya. -TVS